Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali mengalu-alukan penyertaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti pada bulan hadapan.

Setiausaha Politik beliau Hilman Idham berkata ini melambangkan demokrasi yang subur di dalam parti di mana sesiapa sahaja boleh menyertai pemilihan untuk menyumbang kepada parti.

"Apa yang penting di sini adalah untuk mengamalkan politik sihat dan matang, politik yang tidak berunsur fitnah hanya demi jawatan.

"Jika ini dilakukan, saya pasti parti ini akan terus ke depan dalam kepimpinan dalam era Malaysia Baharu," katanya kepada Astro AWANI.

Apabila ditanya sekiranya Azmin akan mempertahankan jawatannya, Hilman berkata masih ada ruang dan masa untuk mempertimbangkan keputusan tersebut.

"Saya percaya Datuk Seri Azmin akan membuat keputusan dan mengumumkannya sebelum penamaan calon," tambah beliau.

Hilman memberi respon kepada laporan media bahawa Rafizi akan bertanding dalam pemilihan parti.

Rafizi mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR Ogos ini menurut laporan portal atas talian Malaysiakini.

"Saya akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden. Saya tidak berminat dengan apa-apa jawatan kerajaan tetapi saya masih berhutang dengan anggota PKR untuk tidak berundur (daripada parti) begitu saja," katanya kepada portal tersebut.