Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatasi pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, pada pemilihan parti di cabang Kuala Selangor hari ini.

Ketua Koordinator PKR Selangor, Hassan Yusof memberitahu Bernama, menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat 982 undi sementara Mohd Rafizi memperoleh 389 undi.

Ini menjadikan undian terkumpul diperoleh Mohamed Azmin di kesemua 22 cabang di Selangor berjumlah 19,435 undi manakala Mohd Rafizi yang juga naib presiden PKR memperoleh 15,434 undi.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), bagaimanapun hanya akan memuktamadkan keputusan berkenaan selepas Peti Undi Ragu diproses.


Selain Kuala Selangor, Mohamed Azmin mendapat sokongan dari 15 cabang lain, di Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Tanjong Karang, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Mohd Rafizi pula memperoleh sokongan daripada enam cabang melibatkan Hulu Selangor, Kelana Jaya, Kapar, Klang, Puchong dan Selayang.

Selangor yang dikatakan 'kubu kuat' kepada Mohamed Azmin yang merupakan bekas menteri besar Selangor itu, mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi sebanyak 249,850 orang.

Menurut Hassan, kawalan keselamatan ketika proses pemilihan di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) Bestari Jaya, Kuala Selangor, turut diperketatkan bagi mengelak insiden penemuan alat penghalang isyarat telekomunikasi (jammer) berulang.

Sebelum ini, proses pemilihan cabang itu yang sepatutnya berlangsung di pusat pengundian di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 28 Okt lepas, terpaksa ditangguhkan berikutan ketiadaan isyarat telekomunikasi.

Polis kemudian mengesahkan mengenai penemuan 'jammer' di bahagian tempat duduk stadium berkenaan oleh petugas MDKL ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.

-- BERNAMA