Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memulakan persaingan jawatan timbalan presiden parti dengan langkah kanan di negeri itu, apabila mendahului pencabarnya Mohd Rafizi Ramli pada fasa pertama pemilihan PKR yang berlangsung di sembilan cabang di Selangor pada Ahad.

Sembilan cabang berkenaan ialah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang.

Menurut laman sesawang Pemilihan Keadilan 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi memperoleh 9,337 undi sementara Mohd Rafizi memperoleh 8563 undi.

Bekas menteri besar Selangor itu mendapat sokongan enam cabang iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja dan Sepang sementara Mohd Rafizi yang juga bekas anggota Parlimen Pandan mendapat sokongan daripada tiga cabang iaitu Hulu Selangor, Kelana Jaya dan Kapar.

Keputusan itu bagaimanapun belum muktamad kerana masih terdapat dua fasa pemilihan di Selangor melibatkan 13 cabang lagi, iaitu Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang pada 21 Okt manakala pada 28 Okt melibatkan Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Selain itu, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) hanya akan memuktamadkan keputusan berkenaan selepas Peti Undi Ragu diproses.

Sebelum ini, keputusan undi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan memihak kepada Mohd Rafizi sementara Mohamed Azmin menguasai Pulau Pinang dan Johor.

Dalam pada itu, saingan di peringkat cabang menyaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R. Sivarasa memenangi jawatan ketua cabang Subang apabila menewaskan pencabarnya Shatiri Mansor sementara Anggota Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid gagal merebut jawatan ketua cabang Kapar apabila tewas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Sivarasa dan Abdullah Sani turut bertanding bagi merebut jawatan anggota Majlis Pimpinan Pusat sementara Dr Daroyah bagi jawatan timbalan ketua wanita PKR.

Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, merupakan negeri ketujuh melaksanakan proses pemilihan yang pertama kali menggunakan kaedah secara 'e-voting' atau e-undi.

Terdahulu, berlaku sedikit kekecohan membabitkan proses pemilihan di cabang Sabak Bernam dan Kapar apabila beberapa perwakilan tidak berpuas hati kerana terpaksa menunggu lama sebelum dibenarkan mengundi.

Mengulas mengenai perkara itu, pengerusi JPP Datuk Rashid Din berkata meskipun keadaan sedikit kecoh pada awal pengundian namun kemudian berjaya dikawal.

"Pada awalnya proses pengundian agak perlahan kerana kehadiran anggota parti yang ramai, namun kemudian keadaan kembali terkawal selepas kira-kira 100 anggota parti dibenarkan masuk ke dewan untuk mengundi.

"Kita memang tidak mampu nak puaskan hati semua pihak, di mana-mana sahaja akan berlaku masalah seperti ini.

"Apapun secara keseluruhan proses pengundian di sembilan cabang berjalan lancar, tiada insiden pergaduhan dilaporkan dan tiada proses pengundian di mana-mana cabang yang ditangguhkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

-- BERNAMA