Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali diingatkan tidak bersifat angkuh kerana kedudukannya selaku Menteri Besar Selangor boleh tergugat jika PAS berkeras memutuskan kerjasama dengan DAP, sekutu politik pembangkang dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, PAS kini memiliki kuasa penentu untuk mencorakkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor jika keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan DAP kekal.

"Sekarang nasib Azmin di tangan PAS, sama ada beliau jatuh atau sebaliknya. Oleh sebab itu saya ingatkan beliau supaya jangan angkuh dan mendabik dada," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Kata Syed Ali lagi, jika PAS bergabung dengan UMNO khususnya di Selangor Azmin pasti tidak lagi menjadi menteri besar negeri itu.

"Jangkaan ini tidak mustahil, mungkin boleh berlaku bila-bila masa, tetapi pada hemat saya PAS sepatutnya segera menginggalkan PR," tegasnya.

Azmin sebelum ini dilaporkan berkata PAS dan DAP akan menentukan masa depan PR terutama di Sekangor.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di penjara Sungai Buluh sebelum ini turut melahirkan kebimbangan jika sengketa PAS-DAP berlarutan, PR akan hancur khususnya di Selangor.

Syed Ali bagaimanapun menjelaskan kini terpulang kepada PAS untuk menentukan nasib Azmin sama ada terus kekal sebagai Menteri Besar atau sebaliknya.

Dalam pada itu, pemimpin DAP, Tony Pua juga melahirkan rasa bimbang akan masa depan PR berikutan konflik PAS dengan parti tersebut.

Sementara itu, kata Syed Ali, usaha PKR dan DAP yang dilaporkan cuba memujuk PAS supaya tidak memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP dilihat terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan masa depan PR.

"PR tidak lagi mempunyai masa depan manakala PAS pula harus membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu masih bermaruah dan memiliki harga diri.

"Sebelum ini saya sudah sebut, demi maruah kepimpinan baru PAS perlu memutuskan hubungan dengan DAP, yang secara jelas menentang cadangan pelaksanaan hukum hudud," tegasnya.