Keputusan awal pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pulau Pinang dan Kedah yang memihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat akan menjadi corak kepada keputusan keseluruhan, kata calon Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, biarpun Mohamed Azmin tidak memperolehi kemenangan di Cabang Permatang Pauh, namun ia bukan penghalang Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mencapai kemenangan.

"Pemilihan parti dibuka kepada semua anggota parti, ahli bebas untuk membuat pilihan, (Permatang Pauh) pengaruh Nurul Izzah di situ dan beliau bertanding di bawah kem Rafizi (Ramli), jadi pengaruh berpihak kepada Rafizi.

"Pencapaian Mohamed Azmin (di Pulau Pinang dan Kedah) membanggakan, saya rasa keputusan awal ini akan menjadi corak kepada keputusan akhir nanti," katanya selepas program Bicara Sinar, di sini, hari ini.

Pemerhati politik melihat keputusan di Cabang Permatang Pauh yang tidak memihak kepada Mohamed Azmin itu sebagai isyarat bahawa bekas menteri besar Selangor itu tidak mendapat sokongan daripada Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.