Usaha kerajaan negeri di bawah pentadbiiran Datuk Seri Azmin Ali dalam memurnikan dan memelihara akidah umat Islam daripada serangan pemikiran liberalisme dan pluralisme diragui.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail menegaskan, Azmin seharusnya menekankan usaha memelihara kesucian dan kemurnian akidah umat Islam dalam kerajaan negeri.

Jelasnya, ia seiring usaha untuk memastikan fahaman dan ajaran yang menyimpang daripada akidah Sunnah Wal Jamaah dapat dibendung daripada terus menular di Selangor.

"Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kassim telah menyempurnakan majlis Pelancaran Pelan Tindakan Menangani Gejala Khalwat Negeri Selangor untuk 2018-2023.

"Bagi pihak UMNO Selangor dan rakyat di negeri ini, kami amat menyokong agenda yang dilancarkan oleh pihak berkuasa agama dalam usaha untuk menangani isu-isu berkaitan amar ma'ruf nahi munkar itu.

"Namun dalam masa yang sama, kita merasakan pelan Menangani Gejala Khalwat bukanlah isu terpenting yang perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa agama. Ia umpama masalah ranting sahaja sedangkan masalah pokok iaitu yang lebih besar seperti isu ancaman terhadap akidah umat islam sepatutnya ditangani dengan lebih serius," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, isu yang lebih utama yang sepatutnya menjadi perhatian kerajaan negeri adalah isu yang berkaitan dengan akidah, kerana akidah merupakan pokok dan asas pegangan bagi seseorang Muslim.

"Kini akidah umat Islam diancam dengan fahaman songsang dan menyimpang daripada akidah Sunnah Wal Jamaah seperti merebaknya fahaman liberalisme dan pluralisme di kalangan umat Islam.

"Soal akidah ini perlu menjadi keutamaan kerana akidah umat Islam perlulah berlandaskan kepada jalan Islam yang sebenar menuruti al Quran dan Sunnah," jelasnya.

Justeru, Zein yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Subang mencadangkan agar Azmin Ali bertindak tegas dalam menangani fahaman Islam liberalisme dan pluralisme yang mula cuba menyebarkan pengaruhnya di negeri ini.

"Saya mencadangkan, bahkan mencabar Azmin Ali untuk melancarkan agenda besar menangani ancaman terhadap akidah Islam ini dengan memperkenalkan langkah atau pelan tindakan bagi menangani penyebaran fahaman liberalisme dan pluralisme yang semakin menular dalam masyarakat kini.

"Fahaman ini jelas telah diwartakan sebagai fahaman sesat dan menyimpang dari fahaman akidah ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Jika benar kerajaan negeri yang juga disertai oleh Pas, mempunyai iltizam dalam usaha memperkukuhkan syariat islam di Selangor ini, maka kerajaan negeri perlu membenteras sebarang usaha untuk membawa fahaman Islam Liberal dan fahaman pluralisme di negeri ini," ujarnya.

Beliau seterusnya mempersoalkan, apakah kerajaan negeri Selangor hari ini bimbang untuk bertindak dan mencegah fahaman-fahaman tersebut semata-mata hanya demi kepentingan politik mereka.

"Kita tahu, di dalam Pakatan Harapan, sudah terang lagi bersuluh, ramai pemimpin-pemimpin mereka yang kita lihat menganuti fahaman Islam liberal dan pluralisme ini.

"Kefahaman Islam sebahagian daripada pemimpin PH yang lebih cenderung kepada fahaman liberalisme dan pluralisme ini, dapat kita lihat daripada kenyataan-kenyataan mereka dan yang paling ketara ialah sokongan mereka terhadap perkara yang amat dilarang oleh ajaran Islam antara contohnya seperti perlakuan LBGT.

"Justeru, saya menyeru kepada umat Islam agar menyedari betapa bahayanya fahaman liberalisme dan pluralisme ini kepada akidah kita sebagai umat Islam di negeri ini," jelasnya.

Zain turut mengingatkan rakyat bahawa persoalan akidah jauh lebih penting dan utama dari permasalahan ekonomi mahupun GST.

"Jadi dalam memilih pemerintah, antara aspek yang perlu diberi keutamaan oleh rakyat, khususnya umat Islam ialah keupayaan parti pemerintah untuk terus memelihara akidah Sunnah Wal Jamaah dan syiar Islam di negeri ini.

"UMNO, sentiasa dalam keadaan istiqamah dalam usaha memelihara serta mengangkat martabat syariat Islam ke tahap yang lebih tinggi dan mulia di negeri dan di negara ini," ujarnya.