Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak satu-satunya yang unik berlangsung terasing daripada negeri-negeri lain di Malaysia. Namun keunikannya tidak terhenti di situ sahaja.

Laungan “Ohhhhaaaaa. Youuuu.. youuuu” menggamatkan setiap majlis di Bumi Kenyalang ini.

Tidak bertulis, tidak berskrip, tidak berprotokol. Kelihatan sosok yang bersembang bagai di anjung rumah panjang, bersenda bagai saudara berpisah tiada dan itulah kelebihan pemasaran politik PRN Sarawak.

Susur galur pengundi dengan kepelbagaian tradisi dan nilai yang unik berbanding di Semenanjung Malaysia, menuntut komunikasi politik yang serasi.

Bagi sebahagian besar masyarakat pengundi Sarawak di pinggir dan luar bandar, mesej di corong radio masih dominan dan ia perlu mesra cara mereka, walaupun untuk Ketua Menteri yang disegani.


Mungkin ini kelebihan Tan Sri Adenan Satem atau jolokan mesranya Tok Nan sehingga populariti begitu meninggi.

Astro AWANI mengikuti temubual Tok Nan bersama Sarawak FM tempoh hari.

Daripada pesanan mudah seperti jangan lupa bawa kad pengenalan dan isteri ketika mengundi hingga ke selitan mesej undilah Barisan Nasional, Tok Nan petah berbicara bersahaja mesra orang biasa.

Malah sesuai nilai teras kekeluargaan dan hakikat majoriti pengundi wanita di Sarawak, isteri Tok Nan, Puan Sri Jamilah Anu, juga turut bersketsa.

Sketsa bicara jenaka Rancangan Jiran Sekampung Sarawak FM ini bersiaran Ahad ini jam 5.30 petang.

Ia kandungan radio Sarawak yang popular sejak 1980-an dengan kru sketsa asal, Imran Narawi, Hashim Lazim, Ja'mayah Pawi, Ahmad Drahman, Khalid Suut dan Rosli Muta.

Sama ada ia berkesan ataupun tidak dalam sesi kempen kali ini masih belum pasti.

Yang pasti komunikasi sebegini mungkin tidak serasi suhu politik lebih meninggi Semenanjung tapi di sini jelas tradisinya masih harmoni, mesra dan bersahaja.