Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sekali lagi mengingatkan pengundi, calon dan petugas yang akan memasuki kawasan pusat mengundi agar tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Ini susulan kontroversi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M. Manogaran yang memasuki pusat mengundi pada 26 Jan lalu dengan memakai baju mengandungi logo PH.

Kata Azhar, baju yang mempunyai simbol, logo atau bendera parti tidak dibenarkan dan ini termasuk baju yang mengandungi nama atau gambar calon yang bertanding.

“Contohnya, berkaitan pemakaian baju yang bertagline ‘Bossku’ atau ‘Malu Apa Bossku’.

“Sekiranya baju itu hanya memaparkan tagline tersebut dan gambar (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak, ia tidak menjadi kesalahan.

“Tetapi ia akan menjadi kesalahan sekiranya pada baju itu turut terselit atau memaparkan simbol atau logo parti atau gambar calon atau nama calon,” katanya pada sidang media di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang di sini pada Jumaat.

PRK Semenyih pada 2 Mac ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih dengan 8,964 undi majoriti mengalahkan tiga calon lain daripada BN, PAS dan PSM.

Sebelum itu, Semenyih merupakan kubu kuat BN sejak kerusi itu pertama kali dipertandingkan pada 1959.