Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengumumkan pembatalan hasrat untuk mengadakan pilihan raya awal di negeri itu membuktikan Pakatan Harapan berpegang kepada konsensus antara ahli-ahlinya.

Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu berkata keputusan yang diambil DAP bertepatan dengan semangat kerjasama antara tiga parti dalam Pakatan Harapan.

"Saya berpendapat ini (pengumuman) Guan Eng baik untuk gabungan ini.

"Ia adalah bukti bahawa memang wujud kesepakatan antara kami," kata Mohamad, yang biasa dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pemuda Amanah di Shah Alam petang ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda Amanah Sany Hamzan dan pemimpin-pemimpin Amanah yang lain.

Terdahulu hari ini, Guan Eng mengumumkan bahawa partinya tidak akan meneruskan pilihan raya awal di Pulau Pinang, selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin parti dan negeri .

Keputusan itu diambil, selepas PKR menyatakan tidak bersetuju mengenainya, walaupun Amanah bersetuju.

“Berikutan PKR tidak bersetuju mengadakan pilihan raya, DAP tidak akan meneruskan cadangan untuk mengadakan pilihan raya awal,” ujar Guan Eng dalam satu kenyataan.