Lebih separuh daripada anggota pengasas Parti Warisan di pulau bebas cukai ini berikrar akan menyokong bekas Anggota Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman, untuk memimpin parti itu di sini.

Sokongan itu diberi selepas mereka mencapai keputusan sebulat suara pada satu perjumpaan di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Anggota pengasas, John Kulas berkata persetujuan menyokong Suhaili, yang juga bekas pengerusi Perbadanan Labuan, memimpin parti itu dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang beliau dalam mentadbir hal berkaitan kewangan dan ekonomi pulau ini.

"Kami percaya beliau mampu menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di pulau ini dan menyuarakan keperluan rakyat kepada kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan," katanya kepada Bernama pada Rabu.

-- BERNAMA