Bekas Ahli Parlimen Puchong Datuk Lau Yeng Peng, yang meninggalkan Gerakan pada 2013, hari ini mengumumkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut Lau yang memberi tumpuan kepada perniagaan selepas keluar dari parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, beliau mengagumi kualiti yang ada pada pemimpin-pemimpin Amanah.

"Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negara, saya berasa amat gembira lalu saya mengambil keputusan menyertai Amanah.

"Borang keahlian saya sudah diserahkan kepada ibu pejabat Amanah tiga hari lalu," katanya pada satu sidang media selepas Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Hotel Casuarina, di sini, hari ini.

Beliau yang merupakan wakil rakyat Puchong dari 2004 hingga 2008, sebelum ini pernah menjadi ahli jawatankuasa Gerakan dan Pegawai Khas kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika itu.

BACA: Amanah sedia terima ahli keluar parti dengan syarat

Bercakap kepada pemberita hari ini, Lau turut menggesa komuniti bukan Melayu dan Islam agar mengikut jejak langkahnya menyertai Amanah kerana parti tersebut disifatkannya mesra rakyat.

"Saya sertai Amanah kerana tak ramai bukan Islam. Saya gesa semua bukan Islam atau Melayu sertai Amanah kerana perlembagaan dan objektif parti itu yang berjuang ke arah kesederhanaan," beliau berkata.