MANTAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan individu yang pernah diberi tanggungjawab untuk mengawal peruntukan terbesar Kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan.

Mana tidaknya, saban tahun Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi dalam usaha melahirkan modal insan negara yang berkualiti.

Pada Bajet 2016, Muhyiddin terus berdiri dan menyatakan sokongannya terhadap belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun telah digugurkan daripada Kabinet.

Tindakan Muhyiddin itu menyebabkan pakatan pembangkang berputih mata apabila hanya memperolehi 74 undi berbanding 128 undi yang diperolehi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun, adakah rentak yang sama bakal dipamerkan Muhyiddin pada Bajet 2017, selepas bergelar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Malah, kehadiran Muhyiddin sebagai pembangkang dijangka bakal menyaksikan satu kualiti perdebatan yang bakal memberi tujahan hebat kepada Kerajaan.

Mana tidaknya, lebih 35 tahun dalam Kerajaan menjadikan beliau mampu meniliti setiap selok-belok kewangan negara terutama berkaitan peruntukan dan pelaksanaan projek.

Melihat senario Bajet 2017, ketika Kerajaan sudah mula menggembar-gemburkan langkah penjimatan, adakah pendidikan sekali lagi akan mengalami pemotongan bajet?

Perlu dilihat juga, Kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 dan menengah M40.

Adakah fokus tersebut bakal menjadi penarik mahupun timbal balik kepada Muhyiddin jika bajet Kementerian Pendidikan dipotong?

Fokus juga tertumpu kepada undian menolak Bajet 2017 kali ini di mana ia merupakan ujian awal kesepakatan Pakatan Harapan termasuk PPBM serta pembangkang yang lain.