Tiada bekas pemimpin UMNO yang menyertai Pakatan Harapan (PH) setakat ini, kata Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata PH belum membuat mesyuarat untuk meneliti sama ada menerima atau menolak bekas pemimpin UMNO yang keluar parti.

"Kita belum dapat permohonan (bekas pemimpin UMNO menyertai PH)," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas berhubung tindakan dua pemimpin UMNO yang bertindak keluar parti sejak semalam.

Semalam, bekas Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri yang juga anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan meninggalkan UMNO manakala hari ini bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut berbuat demikian.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menghadiri sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

BACA: Selepas Tok Pa, Anifah Aman umum keluar UMNO

BACA: 'Tiada sebab saya keluar UMNO' - Hishammuddin

BACA: Kepimpinan baharu UMNO tak kuat, ahli jadi goyang - Anwar Ibrahim

Sementara itu, Naib Ketua Wanita DAP Hannah Yeoh menyifatkan tindakan pemimpin politik keluar masuk parti adalah perkara biasa apabila agenda dan hala tuju parti itu sudah berubah.

"Persoalan sekarang adalah bila KJ (Khairy Jamaluddin) akan keluar (parti)? Beliau dilihat kuat mengkritik.

"Selain itu, apabila pihak pembangkang keluar parlimen (Julai lalu), yang tinggal dalam dewan adalah Anifah dan Khairy sahaja. Kita sudah lihat hala tuju sudah berbeza," kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

-- BERNAMA