Parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) belum membuat sebarang permohonan rasmi untuk bertemu dengan PAS bagi membincangkan soal pengagihan kerusi mahupun kerjasama politik.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan, parti Bersatu hanya menyatakan hasratnya melalui media dan belum berbuat demikian secara rasmi.

Malah, katanya di peringkat PAS Pusat, pertemuan dengan pihak Bersatu turut tidak dibincangkan lagi.

“Setakat ini kita belum ada keputusan sama ada berbincang atau kerjasama dengn Bersatu sebab tiada permintaan rasmi dan kalau ada kita kena bincang dahulu patut ke tak patut.

“Tidak ada permintaan rasmi dan tak berhubung secara rasmi dengan mereka mengenai kerusi ini... dengan PKR pun belum cuma hari ini kita kekal dengan status quo,” katanya kepada pemberita.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS sentiasa terbuka namun akan mengambil kira sekiranya Bersatu berhasrat untuk turut mengadakan kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya, pendirian PAS jelas iaitu tidak akan bekerjasama dengan Amanah atau berbincang dengan mereka namun jika Bersatu ingin mengadakan kerjasama, itu hak parti Bersatu.

Menurut beliau, PAS sedia berbincang dengan mana-mana parti politik mengenai pengagihan kerusi ataupun kerjasama untuk menguatkan pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum kelak.

Namun, pada masa sama menutup pintu rundingan dengan Amanah dan juga DAP.

Tegasnya, ini kerana parti Amanah dianggap sebagai pengkhianat manakala DAP di lihat menentang Islam dan perjuangan PAS.

Mohd Amar berkata demikian pada Majlis Konvensyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kias di sini pagi tadi.

Beliau mengulas kenyataan terdahulu parti Bersatu yang berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan PAS dan PKR berhubung pengagihan kerusi menjelang pilihan raya umum nanti.

Ahad lalu, presiden penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, parti itu sedang mengintai beberapa kerusi untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), termasuk di kawasan PAS dan PKR.

BACA: PRU14: Parti Bersatu bakal adakan rundingan pengagihan kerusi

Menurut beliau, rundingan bersama parti-parti berkenaan akan diadakan sebaik sahaja pendaftaran parti tersebut diluluskan.