Tutup

Benarkah konspirasi punca kemelut kepimpinan MIC? - Periasamy

Benarkah konspirasi punca kemelut kepimpinan MIC? - Periasamy
PERIASAMY: Benarkah konspirasi punca kemelut kepimpinan MIC? - Gambar fail
KUALA LUMPUR: KRISIS MIC dilihat kembali bergelora apabila media melaporkan tujuh penyokong bekas presiden parti, Datuk Seri. G. Palanivel memfailkan saman sivil di Mahkamah Jalan Duta agar Datuk Seri S. Subramaniam disingkir daripada jawatan presiden parti yang kesembilan.

Kumpulan itu memfailkan kes terhadap Subramaniam (plaintif) dan mendakwa Menteri Kesihatan itu mendapat jawatan presiden parti melalui cara yang tidak sah.
Kumpulan berkenaan turut membuat kenyataan akhbar mendakwa kononnya Subramaniam telah mengelirukan pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan menipu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Barisan National (BN) malah mengelirukan keseluruhan kepimpinan BN  dengan dakwaan meraih sokongan majoriti ahli parti dan komuniti India.

Saman tersebut juga menamakan beberapa pihak sebagai defendan termasuk Ketua Pengarah ROS namun pihak plaintif tidak mendedahkan sebarang huraian yang terkandung di dalam saman mereka!
Persoalannya apakah benar dakwaan mereka dan apakah Subramaniam memperolehi jawatan presiden MIC dengan cara yang tidak sah?


Permulaan krisis

Krisis kepimpinan dalaman MIC tercetus apabila ROS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam perhimpunan agung MIC yang ke 67 di Melaka pada November 2013 kerana terbukti berlaku kepincangan dalam pemilihan malah mengarahkan MIC untuk mengadakan semula pemilihan parti termasuk pemilihan beberapa  ketua bahagian dan cawangan yang didapati tidak menepati peraturan.

Sementara pemilihan semula parti diadakan, Palanivel dan penyokongnya telah membuat permohonan kepada ROS dan Mahkamah Persekutuan untuk semakan kehakiman dan seterusnya membatalkan arahan ROS.

Dalam tempoh menunggu keputusan mahkamah, pemilihan parti diadakan secara berasingan oleh kedua-kedua kumpulan yang bertelagah.

Subramaniam dilaporkan menang tanpa bertanding sebagai presiden MIC dalam pemilihan semula yang dikendalikan Jawatankuasa Interim 2009 MIC yang disahkan ROS bagi penggal 2013-2016.

Subramaniam dilaporkan mendapat 450  pencalonan merangkumi 2,700 cawangan daripada 2,843 cawangan MIC iaitu hampir 80 peratus jumlah cawangan yang didaftarkan.

Subramaniam pernah menjawat jawatan Timbalan Presiden parti sejak 2010 malah  memangku presiden parti apabila Palanivel disahkah hilang keahlian MIC secara bersendirian (Iipso facto) kerana didakwa mengheret MIC ke mahkamah.

Perkara 91 Perlembagaan MIC melarang ahli membawa masalah parti ke Mahkamah. Menurut laporan media vernakular, tindakan Palanivel menyebabkan ROS mengeluarkan surat yang mengesahkan G. Palanivel hilang keahlian MIC dan mengesahkan Subramaniam mengambil alih tugas Palanivel sebagai pemangku presiden MIC.

Namun, Palanivel yang tidak berpuas hati dengan arahan ROS telah membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan arahan ROS namun ditolak Mahkamah Persekutuan dengan keputusan memperakui Subramaniam sebagai Presiden MIC.

Sejurus itu, Palanivel dan penyokongnya terus membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan kepada Mahkamah Rayuan namun tetap ditolak mahkamah itu.

Keputusan Mahkamah Rayuan dijangka menamatkan sebarang kesangsian berhubung dengan kedudukan Subramaniam sebagai presiden MIC namun timbul pelbagai tafsiran, spekulasi dan persepsi dalam kalangan ahli parti mengenai keputusan mahkamah malah di kalangan komuniti India secara keseluruhan.

Ada juga pihak yang menyoal kesahihan lantikan Subramaniam sebagai presiden baharu MIC dan peranan ROS sendiri dalam mengesahkan kehilangan keanggotaan Palanivel daripada MIC.

Persekitaran itu menyebabkan kumpulan yang menyokong Palanivel terus mengungkit isu Palanivel yang kehilangan keahlian MIC malah sanggup memfailkan saman sivil terhadap pemilihan Subramaniam sebagai presiden MIC.

Tindakan saman sivil itu jelas menunjukkan kemelut dalaman parti MIC masih belum selesai sepenuhnya.

Cari sokongan

Malahan, kemelut serta krisis kepimpinan MIC didapati bertambah hebat dan menarik perhatian komuniti India apabila empat parti politik dan NGO yang mewakili kaum India, khususnya parti People's Progressive Party (myPPP), Indian Progressive Front (IPF), Makkal Sakti dan Malaysian Associated Indian Chamber of Commerce and Industry (Maicci)  menyatakan sokongan secara terbuka kepada Palanivel dan menyoal kesahihan perlantikan Subramaniam sebagai Presiden MIC.

Pada pandangan saya, isu utama yang masih menjadi bahan perbualan dan kontroversi dalam kalangan sebahagian ahli-ahli MIC malah masyarakat India bukan ahli MIC adalah  isu 'kehilangan keahlian MIC' Palanivel.

Ada yang berpendapat Palanivel tidak wajar disingkir daripada MIC kerana tidak membawa MIC ke mahkamah tetapi membawa RoS ke mahkamah.

Persoalannya, apakah parti politik yang menyertai BN dan menyokong BN sanggup  mengkritik secara terbuka selain menyoal  kesahihan perlantikan ketua parti komponan yang lain?

Apakah adil bagi seorang ketua parti komponan mendesak perdana menteri selaku pemimpin nombor satu BN campur tangan di dalam urusan  perlantikan parti komponan?

Apakah tindakan campur tangan di dalam hal ehwal dalaman parti komponan yang lain dianggap sebagai melanggar prinsip muafakat dan konvensyen yang menjadi amalan dan asas kekuatan BN selama ini?

Pada hemat saya, membangkit semula kesahihan arahan ROS sekali gus menyingkir Subramaniam daripada jawatan presidennya adalah tidak wajar sama sekali malah tidak menepati prinsip dan peraturan mahkamah.

Bagaimana tidak, isu itu telah didengar dan dibuat keputusan oleh Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Rayuan sebelum ini yang umumnya dirujuk sebagai ‘resjudicata’.

Pada pendapat saya, pihak kepimpinan baru MIC perlu bijak dan rendah hati dalam menangani sebarang masalah ketidakpuasan hati  penyokong Palanivel.

Mereka mereka perlu mencari jalan untuk mengukuhkan perpaduan serta kekuatan parti sambil bersikap mesra dalam menjalinkan hubungan baik dengan parti-parti politik dan NGO lain yang mewakili kepentingan kaum India.

Apakah MIC dapat mempertahankan sembilan Kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada mereka?

Apakah MIC boleh mempertahankan dua kerusi Parlimen yang penting bagi mereka iaitu kerusi P.140 Segamat dan P.78 Cameron Highlands?

Keputusan PRU ke-13 menunjukkan calon MIC di Parlimen Segamat (presiden baru MIC) menang dengan majoriti 1,217 undi dan Cameron Highlands (presiden MIC) menang dengan majoriti 462 undi.

Memandangkan jumlah undi yang diperolehi oleh calon MIC di kedua-dua kerusi Parlimen tersebut didapati kian merosot, maka kepimpinan parti kini tidak mampu untuk mengabaikan sokongan daripada parti politik dan NGO yang mewakili kepentingan India demi menjamin kemenangan calon MIC pada PRU ke-14.



*M.Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.