Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrul Razi Mohd Mokhtar ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini kerana dipercayai diatas penglibatannya dalam perhimpunan 'Kita Lawan' pada 7 Mac.

Peguamnya Noorazmir Zakaria memberitahu The Malaysian Insider (TMI), Fakhrul ditahan sekitar pukul 2.00 petang tadi sewaktu memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

"Kami masih berbincang dengan polis sama ada beliau akan bermalam di lokap ataupun tidak.

"Kami dari pagi tadi bersama Fakhrul Razi, mengiringi beliau berjumpa pegawai penyiasat (IO) ASP Sabri, dan kami cuba beberapa kali pujuk dan berhujah di hadapan IO untuk melepaskan Fakhrul Razi.

"Beliau asalnya boleh menerima hujahan kami, tetapi masih perlu mendapat arahan pihak atasan. Sebab itulah kami terpaksa menunggu lama," katanya kepada TMI.

Semalam Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang telah ditahan reman selama tiga hari berikutan penglibatannya menganjur himpunan #KitaLawan Sabtu lalu telah dibebaskan pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan oleh beliau sendiri menerusi laman sosial Twitter peribadinya pada 9.22 malam tadi.

Pada petang Selasa pula, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli ditahan polis selepas membuat laporan isu yang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penahanan Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pada jam kira-kira 7:30 petang Selasa.

Namun demikian, Rafizi dibebaskan dengan jaminan polis lewat malam semalam.

Perhimpunan 'Kita Lawan' diadakan bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.