Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yakin percanggahan dan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin UMNO tidak akan memudaratkan hala tuju perjuangan parti dalam usaha membela nasib orang Melayu selama ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, pemimpin UMNO yang memiliki semangat perjuangan akan sentiasa sayang kepada parti.

"Percanggahan pendapat sering berlaku dalam mana-mana organisasi parti, apatah lagi UMNO sebagai parti terbesar mewakili majoriti orang Melayu dan umat Islam di negara ini," tegasnya dalam catatan terbaharu di blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Katanya, pemimpin UMNO yang berasa agak kecewa tidak akan meninggalkan parti sewenang-wenangnya kerana mereka masih sayangkan UMNO serta tidak keluar parti untuk menubuhkan parti serpihan sepertimana dilakukan mereka yang berada dalam parti pembangkang.

"Inilah keunikan UMNO, bercanggah pendapat dan bertingkah haluan tetapi tidak bermakna bertindak melulu sehingga menghancurkan parti," jelasnya yang menambah, pemimpin UMNO tidak pernah lari daripada tanggungjawab.

Sehubungan itu, jelasnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, pemimpin UMNO di setiap peringkat sewajarnya mengutamakan kepentingan parti melebihi daripada agenda peribadi.

Mengubah tradisi

"Ahli UMNO perlu berpegang kepada prinsip perjuangan parti yang menjadi teras kepada kesatuan orang Melayu, tidak terperangkap dengan mainan pesepsi atau andaian melulu.

"Tradisi atau amalan yang tidak terikat dengan peraturan, tidak semestinya tidak boleh diubah. Kadangkala ada pihak cuba melontarkan tuduhan tidak berasas mencerca sesama pemimpin jika berlaku sedikit perubahan terhadap amalan yang selama ini menjadi tradisi parti.

"Bagaimanapun untuk mengubah sesuatu tradisi yang sekain lama menjadi amalan dalam parti perlu terlebih dahulu melihat kepada implikasi kepada perubahan tersebut," ujarnya.

Dalam masa yang sama katanya, UMNO juga sepatutnya berganjak dengan aliran perubahan mengikut perubahan lanskap politik masa kini.

"Jangan kita mengulangi retorik untuk melakukan transformasi politik tetapi realitinya kita takut kepada perubahan, akhirnya UMNO yang kena ubah oleh rakyat," katanya.

Beliau menambah, jika perubahan itu tidak memberi kebaikan kepada parti seperti boleh menjuruskan kepada perpecahan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi, maka perubahan itu tidak sepatutnya dilakukan. Syed Ali menjelaskan, kesatuan orang Melayu dalam UMNO perlu diperkuatkan dari semasa ke semasa.

"Jika UMNO semakin longgar sokongan daripada orang Melayu dikhuatiri penguasaan UMNO untuk membentuk kerajaan akan berakhir.

"Kita kena mengambil iktibar bahawa UMNO tidak selalunya berada dalam situasi selesa berdasarkan kepada senario yang berlaku hari ini," jelasnya.