Rakyat diminta memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu yang dibangkit Tun Dr Mahathir Mohamad akhir-akhir ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr. Najmil Mohamed Aris berkata, desakan daripada beberapa pihak terhadap isu yang dibangkit bekas Perdana Menteri itu hanya akan mengeruhkan keadaan sekali gus memberi 'peluru' kepada pembangkang untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

"Najib perlu diberi ruang. Desakan hanya akan merosakkan perancangan yang sedang dibuat, apatah lagi katanya, persoalan dibangkitkan Dr Mahathir itu adalah perkara yang sudah dijawab Najib.

"Ia memberi peluru kepada pembangkang sekali gus menjejaskan kepercayaan ahli di bawah kepimpinan sedia ada," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Najmil mengulas mengenai kritikan Dr Mahathir terhadap Najib yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini.

Pada Isnin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Najib.

Jelas Khairy, walaupun ketika ini kerajaan berdepan pelbagai cabaran, dia percaya ia dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Ujar Dr Najmil, tindakan Dr Mahathir juga disifatkan kurang cermat selain mahu sebarang masalah dibincangkan mengikut saluran parti.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai desakan pihak tertentu yang mahu Najib meletak jawatan, ini katanya;

"Najib dipilih oleh ahli parti dan seharusnya sebarang perubahan perlu mengikut saluran rasmi.

"Desakan satu pihak tidak mungkin berlaku. Perubahan kepimpinan bukan boleh berlaku disebabkan mulut seorang sahaja.

"Ahli parti yang memberi mandat dan sehingga masanya, ahli yang akan menilai kembali sama ada petunjuk prestasi utama (KPI) Najib dicapai atau tidak. JIka tidak, baharulah cari calon lain yang sesuai."

Jelasnya lagi, selagi Najib mengetuai kepimpinan parti, selagi itu semua pihak perlu akur dengan kepimpinannya.

"Kita berdiri teguh dalam memberi sokongan kepada Najib walaupun banyak kritikan termasuk desakan meletak jawatan kepadanya," jelasnya.

Beberapa ketua pemuda UMNO negeri dan bahagian pada Isnin menyifatkan kesungguhan Najib menemui sayap parti dan memberi penjelasan mengenai isu semasa membuktikan tiada apa yang disembunyikan kepada rakyat.