Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi tempoh sebulan kepada pemimpin Pas untuk memutuskan sama ada mahu menyertai pakatan harapan ataupun tidak benar-benar melucukan dan menjadi bahan jenaka dalam pentas politik negara.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga seumpama pepatah tidak mengukur baju di badan sendiri.

"Kita ingin mengingatkan Dr Mahathir untuk berpijak di bumi yang nyata dan tidak terus menerus memalukan dirinya sendiri. Mungkin Dr Mahathir mahu jadi pelawak isu politik negara.

"Kita agak sangsi dan musykil bagaimana sebuah parti yang tidak stabil dan pada masa yang sama masih tercari-cari tapak yang kukuh boleh memberi amaran dan kata dua kepada Pas yang kukuh dan telah lama menelusuri pancaroba politik tanah air," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: PPBM beri masa sebulan untuk PAS buat keputusan - Tun Mahathir

BACA:
Tolak DAP, Amanah: Pas tak perlu tunggu sebulan - Hadi Awang

Pada Sabtu, Dr Mahathir memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai pakatan harapan ataupun tidak.

Tegas Dr Mahathir, walaupun perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan Pas susulan pertemuan kedua-dua parti pada 1 Februari lepas, keputusan segera harus diperolehi bagi menentukan strategi seterusnya.

Dalam pada itu Shaiful turut mencabar Pas Kedah menyatakan pendirian mereka terhadap kata dua Dr Mahathir itu.

"Mereka tidak seharusnya mengorbankan prinsip asas perjuangan parti mereka dan terus menerus menjadi oportunis semata-mata ingin menangguk di air yang keruh.

"Bagi kita, sikap Pas Kedah yang tidak 'gentlemen' ini sebenarnya membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai isu sebenar utk mencabar kewibawaan kerajaan negeri yang sedia ada," jelasnya.

Shaiful juga mengingatkan Pas Kedah bahawa tindakan mereka bersekongkol dan bekerjasama secara luar biasa bersama PPBM dan timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah sesuatu yang memalukan.

"Mereka seharusnya kembali mengimbau tindakan Dr Mahathir yang secara nyata memberikan sokongan terhadap DAP dan agenda chauvinisnya terang-terangan bertentangan dengan prinsip asas perjuangan Pas.

"Janganlah semata-mata kemaruk kuasa dan ingin menjadi kerajaan, mereka sanggup mengorbankan prinsip asas perjuangan mereka selama ini," tegasnya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan reda sekiranya Pas enggan bekerjasama dengan pakatan pembangkang dalam berdepan Barisan Nasional (BN).

Sekali gus ujarnya, pembangkang perlu menerima hakikat bahawa akan berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.