Jawatan presiden seharusnya diberi terus kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam proses mengharmonikan PKR selepas pemilihan parti kali ini.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusof berkata, ia sekali gus menjadi landasan ketua umum itu untuk membuktikan keupayaannya sendiri dalam menerajui PKR.

"Dalam konteks PKR ini saya rasa lebih baik Datuk Seri Anwar yang sejak awal penubuhannya dilantik Ketua Umum menjadi presiden. Sudah tentulah untuk menyelamatkan keadaan dan mengharmonikan keadaan yang berlaku, lebih baik parti PKR dan perwakilan tidak bertanding untuk jawatan presiden dan terus diberi kepada Anwar.

"Selepas itu ahli PKR dan masyarakat boleh tengok sejauh mana kepayaan Anwar memimpin parti kerana sebelum ini dia tidak pernah memimpin sebuah parti politik. Dia cuba untuk menguasai UMNO tetapi gagal dan sekarang kita tengok macam mana keadaannya.

"Kalau itu boleh dilakukan, saya rasa ini akan menjadi lebih baik kepada PKR dan sekali gus memberi satu imej yang lebih baik kepada PKR sebagai sebuah parti yang menang dalam pilihan raya lepas dengan kerusi yang paling besar jika hendak dibandingkan dengan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: Anwar tolak spekulasi Dr Mahathir 'gunakan' Azmin sekat pengaruhnya

BACA: Saya tidak campuri urusan PKR - Dr Mahathir

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai akan bertanding jawatan presiden menentang Anwar pada saat-saat akhir sebelum tarikh tutup pencalonan pemilihan PKR, pada Ahad.

Azmin sebelum ini dikatakan sebagai ‘percatur parti’ dan sering menjadi penyelamat krisis sebelum ini, seperti dalam isu Langkah Kajang dan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Selain itu, pelantikan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) turut disifatkan sebagai satu isyarat jelas untuknya merebut jawatan Presiden PKR.

Bagaimanapun Anwar menolak spekulasi bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang 'menggunakan' Azmin untuk menyekat pengaruhnya dalam kerajaan dan parti.

Anwar turut menjelaskan, segala tindak tanduk Dr Mahathir tidak seharusnya diterjemah dalam konteks politik.

Dr Mahathir sebelum ini turut menjelaskan tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencampuri urusan dalaman PKR.

Beliau sekali gus menolak dakwaannya dan Mohamed Azmin mempunyai perancangan menjatuhkan Anwar.