Ahli politik yang terus bermain sentimen politik tatkala negara sedang dilanda pandemik COVID-19 bakal menjejaskan reputasi mereka.

Ahli Pemikir Kementerian Perpaduan Negara, Prof Dr Sivamurugan Pandian berpandangan percaturan politik sepatutnya tidak perlu wujud ketika ini.

“Akhirnya, apa yang mahu dilihat oleh masyarakat secara umumnya ialah bagaimana Perikatan Nasional (PN) mampu menangkan isu kesihatan dan pada masa tidak meminggirkan ekonomi.

“Bagi mereka politik itu boleh difikirkan. Malahan kita melihat bahawa tidak perlu wujud percaturan politik pada ketika berhadapan dengan pandemik ini.

“Malahan adakah perlu kita lakukan nyahcemar ke atas wabak permainan politik ini. Jika sekiranya ada pihak yang berterusan bermain politik ketika negara sedang berdepan krisis ini sudah pasti itu akan menjejaskan reputasi, kredibiliti mereka,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Tegasnya, para pemimpin sepatutnya menunjukkan penyatuan dan kesepaduan walaupun berbeza ideologi politik.

“Malah, ada yang akan beranggapan ini satu permainan kotor, menjijikkan ketika negara sedang berdepan krisis yang begitu besar bukan sahaja dalam negara ttp juga satu wabak yang melanda global.

“Kenapa tidak ketika krisis ini, masing-masing menunjukkan perpaduan, menunjukkan wujudnya kesepaduan, wujudnya usaha bersama walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza,” ujarnya.