Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan sepenuhnya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin parti itu.

Enggan mengulas panjang, Dr Mahathir hanya berkata, “Terpulang kepada parti untuk memutuskannya”.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyifatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah melakukan tindakan secara bersendirian tanpa persetujuan parti.

Ditanya sama ada Bersatu masih kekal di dalam Pakatan Harapan, Dr Mahathir mengesahkan parti yang ditubuhkan oleh beliau itu masih kekal bersama.

“Sehinggalah keputusan dibuat untuk meninggalkan (PH). Jika kita mahu keluar (daripada PH), kita keluar,” ujarnya.

Ditanya berkenaan sama ada beliau akan membentuk Kabinet Bayangan untuk mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan, Dr Mahathir menyifatkan ia hanyalah sebagai retorik.