Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad antara sepuluh pemimpin utama parti itu yang sah menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian masing-masing pada pemilihan pertama parti berkenaan yang ditubuhkan pada 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Tan Sri Syed Hamid Albar yang mengumumkan perkara itu berkata Dr Mahathir mengekalkan jawatan sebagai Ketua Bahagian Langkawi apabila tiada individu lain mengemukakan borang untuk mencabar beliau pada pemilihan di peringkat cawangan parti itu pada 26 Jan lepas.

Pemimpin lain ialah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Jerlun), Setiausaha Agung, Datuk Marzuki Yahya (Bagan) dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar).

"Secara keseluruhan, Ketua Bahagian yang menang tanpa bertanding adalah 39 orang," katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di sini hari ini.

Lima lagi pemimpin tertinggi itu ialah Ketua Bersatu Ketereh Senator Dr Radzi Jidin (Ketereh), Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (Tuaran), Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun), Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya (Batu) dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris (Marang).

Syed Hamid berkata, pada pemilihan 26 Jan lepas, 11,100 borang pencalonan diterima membabitkan 7,371 jawatan yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, selepas saringan dibuat dengan meneliti calon yang sedang disiasat untuk kes salah laku, hanya 9,452 ahli yang disahkan layak bertanding.

Menurut beliau, semua senarai calon akan dihantar ke Jawatankuasa Pemilihan Peringkat Negeri masing-masing esok untuk diumumkan dan ia tertakluk kepada perubahan mengikut bantahan, aduan dan penarikan diri calon sehingga 14 Feb ini.

Mengulas pencalonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Shan Abdullah susulan penggantungan beliau sebagai Ketua Armada Selangor, Syed Hamid berkata ahli yang sedang digantung tidak dibenarkan bertanding.

"Malah dia tak ada hantar borang untuk bertanding bahagian pun," katanya.