Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan mengakui mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin UMNO dan PAS di Kelantan untuk menyertai parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Sazmi Miah, berkata ia bertujuan bagi memudahkan penyaluran bantuan daripada Kerajaan Persekutuan kepada masyarakat yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat berkenaan.

"Perbincangan itu diadakan dengan wakil rakyat PAS dan UMNO yang ada hasrat untuk meninggalkan parti mereka terutama yang tidak berpuas hati dengan pemilihan UMNO baru-baru ini.

"Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka untuk menerima mereka dan kita tidak mengenakan sebarang syarat kepada mereka dan dalam masa yang sama, kita juga tidak menerima syarat yang dikenakan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis kesyukuran sempena pelantikan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi anjuran Bersatu Bahagian Ketereh di Perol di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan ada wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Bersatu dalam satu majlis yang akan diadakan di Machang esok.

Mengulas lanjut, Sazmi berkata jika wakil rakyat berkenaan melompat parti, mereka tidak akan diterima masuk ke dalam PH secara langsung melainkan melalui proses tapisan.

"Tak semestinya mereka yang melompat parti akan menyertai Bersatu. Kita terima mereka sebagai rakan (buat sementara waktu) dan mereka boleh memohon untuk masuk mana-mana parti (komponen PH).

"(Bagaimanapun) kita akan buat tapisan dan lihat keikhlasan mereka dan dalam masa yang sama kita tidak menawarkan sesuatu yang luar biasa kepada mereka.

"Jika ada wakil rakyat bebas yang menyokong PH akan memudahkan penyaluran bantuan Kerajaan Persekutuan kepada masyarakat yang diwakili mereka," katanya. -- Bernama