Kemelut politik di peringkat persekutuan sebetulnya turut menjalar dan menjejaskan struktur pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, dalam situasi di Kedah misalnya, Pakatan Harapan (PH) secara tidak langsung telah terbubar.

Menurut beliau, kerajaan negeri baharu hanya dapat dibentuk sekiranya mendapat kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sekurang-kurangnya 19 sokongan majoriti ADUN perlu dikumpulkan sekiranya mahu membentuk kerajaan negeri baharu.

Ketika ini, parti Bersatu memiliki enam kerusi Pas memiliki kerusi DUN tertinggi di negeri ini dengan 15 kerusi, diikuti Barisan Nasional dua kerusi.

“Itu perlukan konsenses yang besar... Pas dan juga Bersatu dan juga UMNO untuk menentukan siapa akan menjadi menteri besar yang akan datang lah,” katanya.

Sehubungan itu, Azizuddin berkata, kerajaan campuran gabungan antara Bersatu, Pas dan UMNO adalah langkah penyelesaian terbaik untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu di Kedah setakat ini.

Jelas Azizuddin, ketiga-tiga parti ini boleh berunding sesama kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri mereka untuk menentukan siapakah yang layak untuk menjadi Menteri Besar serta barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah nanti.

“Jadi dalam konteks ini, saya rasa sudah tentu Menteri Besar itu akan diberi kepada Pas melainkan kalau ada konsenses mengatakan seorang daripada Bersatu akan pegang.

“Contohnya, Datuk Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu) mungkin akan pegang tetapi dalam Pas sendiri tak nampak yang menonjol karektor pemimpin yang boleh diketengahkan ada macam Muhammad Sanusi Md Nor (Ketua Pembangkang DUN Kedah), Muhammad Sanusi Md Nor boleh diketengahkan bagi saya tak nampak yang menonjol boleh digarap sebagai pemimpin di Kedah ni,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah hanya boleh melantik Menteri Besar Kedah sekali gus memperkenan kerajaan negeri baharu dibentuk apabila yakin salah seorang ADUN ada kepercayaan majoriti.

Tambahnya, ia berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah iaitu mengikut Perkara 37 (2) (a) yang menyatakan Raja Pemerintah hendaklah mengangkat Menteri Besar bagi mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan dengan seorang Ahli Dewan Negeri yang baginda fikir dipercayai oleh majoriti Ahli-ahli Dewan Negeri.

Pada PRU14 lalu PH yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi 18 kerusi DUN daripada keseluruhan 36 kerusi manakala Pas memenangi 15 kerusi DUN dan BN hanya dua kerusi.