Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak mengamalkan perjuangan mewah meskipun telah menang dan berada dalam kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata fokus mereka lebih terarah kepada matlamat utama untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurut Syed Saddiq pihaknya akan mengekalkan cara tersebut khususnya bagi sayap pemuda.

“Perjuangan Bersatu khususnya Armada bukanlah berlandaskan kontrak kemewahan status ataupun semua itu, tetapi pejuangan asal adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Walau sukar rintangan yang terletak di hadapan namun kita perlu fokus pada matlamat asal sebab sejak dahulu lagi apabila kita berkempen, ada yang tidur dalam kereta, tidur rumah kawan… tidak ada belanja yang mewah tetapi alhamdulillah kita menang dan kita perlu kekalkan perkara tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan Hari Raya Armada Terengganu, di sini pada Jumaat malam.

Beliau berkata, pihaknya juga optimis jumlah keahlian sayap pemuda itu akan terus bertambah sehingga mencecah 200,000 ahli sehingga akhir tahun ini.

Ketika ini, katanya Armada mempuyai kira-kira 120,000 ahli di seluruh negara.