Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan merebut kerusi Rantau dari PKR pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kali ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persefahaman tentang pemilikan kerusi di DUN atau Parlimen sudah diputuskan parti-parti di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kerusi Rantau kerusi PKR kalau tidak silap saya, yang mana calonnya ditahan dan tidak dibenarkan masuk semasa PRU dahulu.

"Setahu saya parti yang akan bertanding ialah PKR, kali terakhir ia PKR tetapi itu terpulang kepada PKR.

"Kita apabila sudah ada kesefahaman, kerusi ini siapa punya, macam Sememyih kita punya, itu sudah selesai, Pagoh saya punya, tidak ada apa nak rebut," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia Ke-47 Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di sini, pada Selasa.

BACA: PRK Rantau: PKR senarai 3 calon wanita tempatan

Sebelum ini, Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mereka akan berbincang dalam masa terdekat mengenai calon yang sesuai untuk memenangi kerusi DUN Rantau.

Jelasnya, walaupun kerusi itu secara tradisinya diwakili PKR, mereka sentiasa mengambil sikap muafakat dalam PH untuk memastikan calon itu adalah calon PH.

Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, di kerusi DUN Rantau pada PRU14 lalu sebagai terbatal dan tidak sah.

BACA: "Saya akan pertahan kerusi DUN Rantau" - Mohamad Hasan

Keputusan dibuat selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lalu yang mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Dalam PRU lalu, calon dari PKR, Dr. S. Streram sepatutnya bertanding bagi kerusi berkenaan namun dihalang masuk ke pusat penamaan calon oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak memiliki pas SPR.