Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus menjadi wadah perjuangan orang Melayu demi masa depan mereka, ujar Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, bagi memperkasakan matlamat itu, anggota parti perlu meneruskan perjuangan dan menyelamatkan orang Melayu.

Pada masa sama tegas Muhyiddin, apa yang lebih penting adalah memastikan survival parti Bersatu terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Dalam empat tahun ke hadapan kita akan hadapi PRU15. Persoalan penting ialah survival bersatu dalam mendukung orang Melayu . Sebahagian kawasan parlimen telah terbentuk dengan masalah yang saya urusksan.

"Itu tak memadai, kerana menjelang PRU kita nak pastikan parlimen sama ada ditandingi Bersatu atau PH harus menang lebih besar menentukan survival Bersatu," katanya dalam ucapan penangguhan Presiden Bersatu sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di sini.


Justeru katanya, beliau mahu kedudukan bahagian dan cawangan parti Bersatu diperkukuhkan dengan mengelak sebarang perselisihan faham atau sebarang masalah yang boleh memburukkan nama parti.

"Maka sebab itu, saya setuju agar diperkukuhkan kedudukan bahagian-bahagian dan kita tentukan cawangan terbentuk berdasarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta menentukan keberadaan Bersatu tidak akan menarik orang sebab masalah perselisihan dan isu yang mengalih perhatian kepada perkara tak elok.

"Sebab itu saya nak ajak semua berusaha sama supaya kedudukan bahagian dapat diperkukuh dengan ahli lebih ramai. Boleh tak?," ujarnya, sambil pertanyaan Presiden itu disahut dengan jawapan "boleh" oleh perwakilan.