Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan Bersih 4.0 sebanyak dua kali amat mengejutkan, kata Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu.

"Siapa sahaja boleh datang dan sertai (perhimpunan) Bersih. Cuma kami tidak sangka Dr Mahathir akan datang," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sekitar Dataran Merdeka pada perhimpunan Bersih 4.0 yang diisytiharkan haram oleh pihak polis sebelum ini.

Beliau turut menyifatkan kehadiran Dr Mahathir disebabkan, bekas perdana menteri itu risau berkenaan situasi politik semasa negara.

Mohamad Sabu turut menimbulkan isu tuntutan Bersih untuk pilihan raya yang bersih yang dikatakan merupakan masalah pilihan raya yang wujud sejak zaman Dr Mahathir lagi.

"Walaupun Bersih menuntut pilihan raya yang bersih, namun, semua masalah pilihan raya itu berlaku pada zamannya (Dr Mahathir).

"Tetapi barangkali dia (Dr Mahathir) datang saya rasa lebih kepada isu ekonomi yang menjadi tuntutan Bersih 4.0 kali ini," katanya.

Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali petang tadi hadir meluangkan masa untuk 'bersiar-siar' di Pasar Seni bagi meninjau perhimpunan Bersih 4 yang sedang berlangsung.

Kedua-duanya turut hadir pada Sabtu untuk beberapa minit di Dataran Merdeka.