KUALA LUMPUR:Biarpun dilabel sebagai orang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta jurucakap Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berikrar akan terus kekal dengan UMNO kerana beliau percaya apa yang dilakukan selama ini merupakan keputusan partinya.

Dalam satu wawancara khas bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini, bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional itu berkata, pihak yang sengaja melemparkan tuduhan itu mempunyai agenda peribadi yang tersendiri.

Jelasnya lagi, pihak yang beliau maksudkan itu mempunyai hasrat untuk melakukan perkara yang berlainan daripada apa yang telah pun diputuskan UMNO melalui Majlis Kerja Tertingginya.

“Saya menjadi penghalang kerana kekal dengan keputusan parti. Saya telah diarahkan oleh Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk menyusuli tindakan-tindakan selari dengan keputusan parti iaitu no DAP, no Anwar. Bukan saya yang putuskan.

“Satu lagi yang parti putuskan ialah menyokong (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sokong PN, serta sama-sama dokong kerajaan. Semua itu saya buat. Yang jadi masalah ialah beberapa orang yang bawa idea baharu, yang tidak pernah diluluskan parti selama ini, termasuk nak sokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” jelasnya lagi.

Ahli Parlimen Ketereh yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa, usaha mencari sokongan di kalangan pemimpin UMNO terhadap Ketua Pembangkang itu adalah kerana pihak berkenaan berkawan rapat dengan Anwar.

Menurut Annuar, itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau telah dituduh dengan pelbagai persepsi negatif, sedangkan apa yang dilakukannya hanyalah mempertahankan keputusan parti.

“Di mana yang dikatakan saya ini mirip Bersatu? Kecuali dalam satu perkara iaitu Bersatu dengan UMNO jangan berpecah. Bukan saya nak masuk Bersatu, tetapi saya nak UMNO kuat.

“Pegangan saya UMNO, Bersatu dan Pas adalah teras penyatuan orang Melayu dan saya yakin ketiga-tiga parti ini kalau bekerjasama, kita akan menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujar Annuar lagi.