"Biarkan PH terjun dengan labu-labunya, biarkan-biarkan."

Itu reaksi balas Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan terhadap kenyataan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan bahawa PH tidak memerlukan Pas sebagai rakan sekutu yang baharu.

Memetik laporan Sinar Harian, Takiyuddin berkata Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) malah akan terus mengukuhkan kerjasama politiknya dengan UMNO, Barisan Nasional ( BN ) melalui Muafakat Nasional.

Gabungan itu juga dilihat akan terus menjadi pembangkang konstruktif dalam dan luar Parlimen serta berperanan sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan PH.

Mengulas lanjut, menurut Takiyuddin, Pas menyifatkan kenyataan Saifuddin penuh dengan kebimbangan, menggelabah dan tertekan selain menunjukkan kedudukan parti komponen dalam PH yang tidak stabil.

Terdahulu, Parti Amanah Negara (Amanah) dilaporkan turut menolak sebarang gerakan atau cadangan untuk membawa masuk Pas menyertai kerajaan semata-mata untuk menarik sokongan rakyat kepada PH.