Biro IT dan media sosial UMNO peringkat bahagian dan cawangan seluruh negara perlu diaktifkan bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata fungsi biro tersebut adalah bagi menangkis fitnah yang menjadi tular tidak benar yang berleluasa di media sosial lebih-lebih lagi ketika menghadapi PRU.

"Biro IT UMNO telah lama diwujudkan sejak tahun lepas dan setiap bahagian sekurang-kurangnya mempunyai 40 anggota jawatankuasa yang terdiri daripada empat sayap parti iaitu Pemuda, Puteri, Wanita dan juga Cawangan.

"Saya harap mereka dapat mula aktif dalam media sosial masing-masing menyebarkan maklumat positif kepada rakyat," katanya yang juga Ketua Biro IT UMNO.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Bukit Katil, dekat sini malam tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Ahmad berkata beliau berharap semua mesyuarat berkelompok yang akan diadakan di seluruh negara akan membincangkan persiapan peringkat akar umbi menghadapi PRU yang akan datang.

Beliau turut memuji inisiatif yang diambil Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menubuhkan portal SEBENARNYA.MY yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada rakyat.

"Portal SEBENARNYA.MY membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita yang menular di laman sosial dan rakyat boleh membuat pertanyaan menerusi portal ini," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai persidangan berkelompok UMNO, Ahmad berkata fokus perbincangan perlu bincangkan hal-hal yang berkaitan tentang rancangan perayu undi, jalinan rakyat dan program mendekati rakyat. -- BERNAMA