Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat 'Pra-Majlis' sesi Dewan Rakyat di kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Putrajaya, malam ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, mesyuarat itu merupakan amalan biasa yang diadakan BN, sebelum bermulanya mesyuarat persidangan Dewan Rakyat.

"Tiada yang luar biasa mengenainya ia diadakan setiap kali Dewan Rakyat mula bersidang dan diadakan beberapa kali dalam setahun.

"Banyak perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat malam ini, termasuk rang undang-undang dan isu- isu kontroversi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara berkaitan bajet tidak akan dibincangkan malam ini tetapi ia akan dibawa dalam mesyuarat jemaah menteri yang akan datang.

Sementara itu, mengulas isu sama, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata mesyuarat malam ini adalah perkara biasa serta menjadi amalan biasa BN untuk membincangkan terlebih dahulu mengenai agenda-agenda yang bakal dibahaskan dalam sidang parlimen nanti.

Subramian turut menegaskan parti itu akan sentiasa menyokong kepimpinan Najib kerana beliau telah melakukan pelbagai transformasi bagi masyarakat india selama ini.

"Sudah pasti kami (MIC) menyokong PM (Najib) 110 peratus. Jika ada isu kita selesaikan secara dalaman bukan di Parlimen," kata Dr Subramaniam.