Kad laporan prestasi Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dibentang pada tahun ini sebagai memenuhi janji akauntabiliti kepada rakyat sejak pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cara pembentangan dan isu berkaitan pencapaian itu bagaimanapun akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

"Kita maklum akan sampai pertengahan penggal tempoh Parlimen. Kita sedar bahawa kita telah membuat akujanji sebuah manifesto pada pilihan raya lalu.

"Dalam tempoh ini, kita melaksanakan pelbagai projek bersandarkan akujanji tersebut dan dalam sedikit masa lagi kita akan bentang kad laporan kepada rakyat.

"Kita akan maklum bagaimana prinsip akauntabiliti BN, kita juga akan maklum bentuk dan cara yang perlu dilakukan," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pengerusi parti komponen lain.

Ia merupakan mesyuarat yang pertama diadakan selepas rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu.

Pada 2013, Najib melancarkan akujanji bertema "Menepati Janji Membawa Harapan" mengandungi 17 teras utama yang disifatkan banyak pihak sebagai realistik serta komprehensif meliputi hampir semua aspek kehidupan rakyat.