BN akan cadang nama Pengerusi PAC baharu - Ahmad Zahid

BN akan cadang nama Pengerusi PAC baharu - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid berkata kerusi Parlimen Cameron Highlands tetap milik MIC untuk ditandingi pada Pilihan Raya Kecil kelak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mencadangkan calon lain bagi menggantikan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ini kerana, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto Pakatan Harapan (PH) menyatakan jawatan pengerusi PAC dikhaskan kepada anggota Parlimen daripada pembangkang.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media pada Rabu, susulan tindakan pemimpin dari Sabah itu keluar UMNO pada Rabu, menurut Bernama. 

Kiandee sementara itu berkata, beliau pula tidak boleh meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun sudah membuat keputusan meninggalkan UMNO sehingga Parlimen membuat keputusan lanjut berhubung perkara itu.
Wakil rakyat Beluran itu adalah antara enam Ahli Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), dua senator dan 21 Ketua UMNO Bahagian negeri yang meninggalkan parti  pada Rabu, sekali gus menjadikan ia hampir lumpuh di Sabah.

BACA: Riwayat UMNO Sabah belum berakhir - Pemuda UMNO

BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kerusi Parlimen Cameron Highlands tetap milik MIC untuk ditandingi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kelak.

MIC pada Rabu dilaporkan berkata ia tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan calon BN dari MIC, Datuk C. Sivarraajh, bagi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah.