KUALA LUMPUR:Barisan Nasional (BN) akan terus dipertahankan agar kekal relevan dan mampu melakukan sesuatu kepada rakyat.

Itu tegas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika ditemui selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin.

"Begitu juga perkara dalaman sesama parti. Ini mesyuarat biasa, dalam keadaan ini kita perkukuhkan BN. Semua parti hadir hari ini dan kita sentiasa pertahankan BN (agar) relevan.

"Itu kelebihan BN, saya rasa kita semua faham tanggungjawab kita, termasuk mereka yang dalam BN. Kita sedar tanggungjawab kita dan apa yang kita sokong ini adalah yang terbaik untuk rakyat jelata," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan ketika ditemui turut menyatakan bahawa parti itu akan lebih memfokuskan pendirian akar umbi.

"Satu rancangan khas untuk memastikan BN menjadi relevan termasuk mendengar perasaan ahli akar umbi, (dan) apakah pendirian mereka dan mengenai aspirasi parti.

"Kita bincangkan mengenai ahli BN, (mesyuarat ini) tidak ada kena mengena dengan bajet, sebab ada tiga hari lagi," katanya.

Ditanya sama ada mesyuarat turut menyentuh mengenai kerjasama BN dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jelas Saravanan terdapat pelbagai kemungkinan akan dilakukan demi kebaikan parti.

"Belum lagi, kita lihat semua kemungkinan. Demi kebaikan parti dan negara, demi rakyat kita utamakan," katanya lagi.