Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Shah Alam menjadi efek domino untuk permulaan kejayaan merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata, perhatian khusus harus diberi di kawasan itu oleh kepimpinan tertinggi parti demi merealisasikan harapan itu selepas tewas dalam dua PRU sebelum ini.

Jelasnya, semua infrastruktur dan kemudahan sudah disiapkan BN selain mengakui banyak lagi yang harus dibuat untuk memastikan Shah Alam menjadi sebuah bandar pendidikan.

"Kalau Shah Alam kita menang, saya berani kata ia macam efek domino. Ia akan mempengaruhi kawasan lain.

"Bahkan saya berani kata, orang mungkin ketawa, orang mungkin kata mana boleh BN ambil semula Selangor. Saya kata kenapa tidak dengan syarat bagi Shah Alam menang dahulu, walaupun orang kata dapat tambah margin pun dah kira OK.

"Pada saya tidak, saya nak kita ambil alih semula sebab ini (Shah Alam) memang kita punya dahulu. Saya cakap dari segi pengalaman sejak saya berumur 20 tahun. Ini memang kita punya, kita dah penat buat macam-macam. mereka 'basuh kaki' kata kereka punya. Sejak mereka ambil alih, saya tidak nampak apa yang mereka buat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu pertemuan di kediamannya baru-baru ini.

BACA: Ahli MT UMNO bakal jadi calon BN di Shah Alam?

Sebelum ini seorang ahli MT UMNO disebut-sebut bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Shah Alam pada PRU kali ini.

Menurut sumber, pemilihan nama calon itu juga sudah mendapat perhatian dan makluman pimpinan tertinggi parti.

Ibrahim yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjelaskan, kemenangan BN merupakan simbolik kepada kemenangan bahagian-bahagian lain di Selangor.

"Sebab itu UMNO Selangor kena bekerja keras, UMNO Shah Alam kena rapatkan saf, jangan dengki, jangah cah keting.

"Kita kena kerjasama, menang Shah Alam maknanya menang Selangor. Jika tidak kita semua akan rugi," ujarnya.


Kata Ibrahim, BN dan UMNO di Shah Alam sudah membuat pembangunan sejak dahulu lagi. Kemenangan Shah Alam juga merupakan simbolik ke bahagian-bahagian lain di Shah Alam

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari sebelum ini menegaskan, tiada sebarang rundingan pernah dibuat di antara Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dengan bahagian Shah Alam selama ini dalam menentukan isu calon di bahagian tersebut.

BACA: MT UMNO tidak pernah runding isu calon Shah Alam - Azhari

Jelasnya, ia sekali gus mengaburkan peluang untuk calon tempatan menjadi wakil rakyat dan menabur bakti kepada penduduk setempat mereka sendiri.


Ketika mengulas isu calon Ibrahim menjelaskan, calon terbaik di Shah Alam seharusnya seorang individu yang boleh mempengaruhi pemikiran pengundi, boleh diterima ahli parti dan seharusnya dikenali di peringkat nasional.


Ibrahim turut melihat perkembangan Shah Alam dalam bidang pendidikan sejak era 70-sebagai platform jiwa besar bandaraya itu dalam pendidikan harus terus dikembangkan tanpa halangan mana-mana pihak.


Kata Ibrahim, pola pemikiran penduduk di Shah Alam sudah disemai dengan semangat pendidikan sejak sekian lama namun mereka tidak menafikan kepentingan politik satu perkara yang tidak boleh dipinggirkan dalam memperkukuh sektor pendidikan.

BACA: Hanya 'kepala perang' boleh jadi calon di Shah Alam - Penganalisis politik

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian sebelum ini berkata, pengundi di Shah Alam mencari calon yang boleh mewakili dan membawa literasi politik jauh lebih tinggi di kawasan tersebut pada PRU14 kali ini.

Jelasnya, majoriti Melayu kelas menengah bandar di kawasan itu juga mahu calon yang mempunyai pendirian politik lebih kritikal untuk menjadi wakil rakyat mereka.