Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara pada ketika ini bukanlah sebuah parti yang 'mabuk kuasa'.

Itu tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan BN merupakan parti yang sentiasa berpegang kepada prinsip demokrasi dengan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih setiap lima tahun.

Menurutnya, prinsip demokrasi harus diamalkan dan bukan menjatuhkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan yang secara jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

"BN tidak mabuk kuasa seperti didakwa pembangkang. Kita tentukan kerajaan menerusi pilihan raya," katanya ketika merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Bahagian Limbang, di Kompleks Sukan Limbang hari ini.

Najib berkata, rakyat Sarawak perlu mengekalkan kerajaan sedia ada yang dipimpin 'Pasukan Adenan' dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) bagi menjamin hari esok supaya lebih baik dari hari ini.

Justeru, beliau mahu rakyat Sarawak untuk tidak mudah terpengaruh dengan cara politik tidak matang yang diamalkan pembangkang selain menyebar adu domba, politik kebencian dan fitnah.

"Ada ketua DAP kata GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) akan naik daripada enam peratus kepada 10 peratus kalau BN menang pada pilihan raya nanti.

"Saya nak katakan ini semua penipuan.. pembohongan kepada rakyat," tegas Najib.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Seri Jamilah Anu.

Hampir 20,000 penduduk di bahagian utara Sarawak menghadiri program berkenaan.