Benar, mereka seteru.

Mereka ini merujuk kepada dua parti veteran di Malaysia, Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Di Kelantan, sejak dulu, dua parti ini bertelagah hal politik.

Itu adat berseteru.

Tetapi negeri ini yang mana penduduknya dalam apa jua keadaan mahu syiar Islam ditegakkan, ada ketika, perbezaan politik ini terbawa-bawa dalam agama.

Masjid ikut parti.

Penyokong BN tidak mengunjungi masjid Pas, dan begitu sebaliknya.

Tidak semua.

Cuma berlaku di sesetengah tempat.

Jangan pula ada yang menidakkan kejadian ini.

Ini corat coret kebenaran kisah politik di negeri serambi Mekah.

Tetapi, melihat ke hadapan, saya dapat rasakan mungkin era perseteruan sebegini hampir berlalu.

Di sebalik tabir penulis dengan calon BN di Parlimen Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohd Fatmi dan calon PAS di Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari. Astro AWANI

Temuramah yang pada awalnya sekadar satu eksperimen untuk liputan #MalaysiaMemilih, berhasil menjadi satu penemuan yang boleh saya sifatkan mengejutkan.

Tipulah kalau saya kata saya tidak skeptikal.

Ada keraguan dalam hati saya apabila mahu menjemput dua individu berlainan parti duduk semeja, berbincang mengenai isu sama.

Tetapi kalau kita tidak cuba, kita tidak dapat hasil.

Betul atau tidak?

Apabila sampai masanya, debaran saya makin terasa.

Yang dijemput adalah wakil belia dari BN, Fikhran Hamshi Mohd Fatmi, calon di Parlimen Kota Bharu yang juga Timbalan Ketua Pemuda BN Kota Bharu.

Sementara dari Pas, Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari yang akan bertanding di Parlimen Pasir Mas.

Memang benar, ketika kedua-duanya tiba di lokasi, ada sedikit canggung.

Kerana ini kali pertama mereka bertemu, dan kedua-duanya calon bagi parti masing-masing.

Tetapi apabila berbicara mengenai isu yang membelenggu belia, yakni golongan usia yang mereka wakili, perbualan jadi berilmiah.

Di Pasir Mas yang dilabel sebagai daerah tertinggi catat kes pil kuda, Ahmad Fadhli menarik perhatian dengan hujahnya.

Beliau kemuka visi dan cadangan membersihkan imej Pasir Mas.

Sementara di kawasan Parlimen Kota Bharu yang ditandingi Fikhran Hamshi, isu tiada kerja hingga menyebabkan belia terjerumus jenayah, jadi perhatian.

Fikhran Hamshi membangkitkan keperluan mewujudkan peluang pekerjaan, supaya belia tiada ruang terjebak masalah sosial.

Apa yang menariknya ruangan bicara kali ini, kedua-duanya tidak berkempen bagi parti.

Tetapi mengemukakan solusi bagi isu dan masalah yang saya kemukakan.

Ini jauh dari politik tradisi, yang mana acuan jawapan bagi soalan saya lazimnya adalah bagaimana keupayaan parti, kehebatan parti dan kalau parti ini dipilih, rakyat akan dapat manfaat.

Ketika sesi temuramah yang disiarkan secara langsung itu, saya akui saya teruja berlebihan sehingga hampir mahu berdiri dan menepuk kedua-dua tangan kerana kematangan politik ini yang dicari.

Habis temubual, Fikhran Hamshi berseloroh "Patutnya kena ambil gambar kami bersalam dahulu sebelum temuramah, barulah best.

"Selalu sangat digambarkan kami (BN dan PAS) bergaduh sampai tak boleh bertentang muka, padahal kami beza pandangan politik tidaklah sampai bergocoh (bertumbuk)."

BN dan PAS digambarkan bermusuh sehingga umum ada persepsi dua pihak ini tidak boleh bersua muka, sedangkan hakikatnya tidak begitu. - Astro AWANI
Ahmad Fadhli mengiyakan.

Dan kemudian kedua-duanya bertanya hal bagaimana kempen di tempat masing-masing.

Saya yang mendengar di tengah-tengah mereka jadi lagi seronok.

"Aku risau tadi takut ada yang tumbuk meja sebab beza pendapat, tapi mujur tidak.

"Nasib baik pisang tak berbuah dua kali," luah jurukamera Sallehin Hussain, kongsi pengalaman sebelum ini apabila ada ahli politik jemputan program Astro AWANI berperang mulut dan hampir bertumbuk kerana tidak boleh menerima pandangan masing-masing.

Saya beri Fikhran Hamshi dan Ahmad Fadhli dua minit setengah setiap seorang untuk bercakap.

Tetapi mereka beri saya lebih daripada itu.

Mereka beri saya keyakinan bahawa kematangan dalam berpolitik itu ada, dan tidaklah menunggu usia menginjak tua.

Fikhran Hamshi dan Ahmad Fadhli juga buktikan era caci maki, kecam mengecam hingga menyebabkan ramai enggan peduli dan menyampah hal politik, boleh berakhir.

Matang kita meletakkan masalah rakyat sebagai keutamaan, dan siapa lebih juara mencari penyelesaian.

Beradab dalam berpolitik tidak mustahil, kembali kepada asal kita orang Timur, santun ketika menegur, santun ketika tidak bersetuju, dan santun dalam segala segi.

Santun dan adab melahirkan hormat, hormat boleh angkat martabat, tidak salah kalau kita beringat.

TONTON: #MalaysiaMemilih: Cabaran tangani isu jenayah melibatkan belia