BN guna 'augmented reality' dekati pengundi

BN guna 'augmented reality' dekati pengundi
Aplikasi HebatkanNegaraku boleh dimuat turun melalui Google Playstore dan AppStore
KUALA LUMPUR: Seiring dengan usaha mencapai status negara maju menjelang 2020, Barisan Nasional (BN) kini mengadaptasikan penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 dalam kempen Pilihan Raya Umum mereka kali ini.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, melalui aplikasi telefon pintar ‘HebatkanNegaraku’, parti itu menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (Augmented Reality) bagi menyampaikan maklumat berkenaan kempen, dan ia disampaikan melalui figura Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bentuk tiga dimensi.

BACA: Masih ramai yang belum sedar Revolusi Industri 4.0
BACA: Masyarakat tercicir, bersediakah mereka untuk Revolusi Industri 4.0?

Selain itu, kata Tengku Adnan lagi, pengundi juga mempunyai pilihan untuk mengenali calon BN di kawasan mereka, serta manifesto di peringkat induk dan negeri.

“Ini merupakan aplikasi untuk BN dekati pengundi, dan pengundi juga dapat maklumat yang terkini dengan aplikasi yang kita akan ketengahkan,

“Memulai aplikasi Hebatkan Negaraku ini, diharap ia dapat memudahkan pengundi untuk mengenali calon Barisan Nasional mengikut parlimen masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan aplikasi itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Tengku Adnan, yang juga calon BN untuk P125 Putrajaya, berkata bawah melalui aplikasi itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan intipati Manifesto BN bagi PRU kali ini.