Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak berniat mencampuri urusan dalaman parti Kongres India Semalaysia (MIC) tetapi mahu menjaga keutuhan parti secara keseluruhannya.

Beliau berkata mereka menghormati apa yang terjadi kepada MIC namun jika masalah MIC tidak diselesaikan ia juga akan memberi kesan kepada BN.

"Kita hormati masalah dalaman MIC, pentadbiran MIC dan juga kebebasan MIC sebagai komponen parti BN, MIC adalah parti komponen dalam BN. Sekiranya mereka tidak selesaikan masalah ia akan beri kesan bukan sahaja kepada MIC tapi juga kepada BN.

Beliau berkata MIC perlu faham MIC tidak keseorangan kerana MIC adalah parti komponen BN jadi Presidennya Datuk G Palanivel kena sedar ini masalah ini juga memberi kesan kepada BN.

Khairy pada masa sama berharap Palanivel berhenti menyerang dan mencabar keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar MIC mengadakan pemilihan semula parti itu.

Katanya, sebagai seorang menteri kabinet, Palanivel tidak wajar mempertikai keputusan agensi kerajaan itu sebaliknya memberikan kerjasama, menyelesaikan kemelut yang melanda MIC dengan segera.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat CWC dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.