Manifesto Barisan Nasional (BN) Kelantan bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menggariskan tujuh teras utama dengan 60 tawaran kepada semua lapisan rakyat.

Menurut Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, manifesto PRU14 bertemakan ‘Bersama Demi Kelantan’.

Teras itu adalah memartabatkan syariat dan syiar Islam, membangunkan ekonomi mapan, mengutamakan kebajikan rakyat, memperkasakan belia, menambah baik infrastruktur, melestarikan alam sekitar dan membela kaum minoriti.

“Tawaran yang kita berikan ini adalah realistik dan bukan janji kosong kerana kita mampu melaksakannya.
“Ini semua telah mendapat restu daripada BN pusat dan ia merupakan janji yang realistik,” katanya selepas mengumumkan Manifesto PRU14 BN Kelantan pada Khamis yang dihadiri lebih 15,000 penyokong dan jentera BN Kelantan.

Memartabatkan syariat dan syiar Islam sebagai teras utama dengan mengemukakan lapan tawaran menyaksikan BN Kelantan tidak pernah meminggirkan soal agama.

Menerusi teras berkenaan, tawaran yang dikemukakan adalah menubuhkan Universiti Al-Quran, mewujudkan lebih banyak sekolah tahfiz, mentransformasikan peranan masjid, memperkasakan Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta meningkatkan kebajikan guru YIK.


Pengerusi Barisan Nasional Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertemakan 'Bersama Demi Kelantan'. - Foto BERNAMA


Selain itu, BN akan menaik taraf masjid jajahan, mengembalikan kegemilangan Kelantan sebagai Pusat Keilmuan Tradisi Islam, menambahkan elaun imam, bilal, guru takmir dan siak serta melaksanakan program dakwah yang berkesan.

Manifesto turut memberi penekanan terhadap pekerjaan rakyat dengan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dan keusahawanan, khususnya untuk belia.

Tawaran lain ialah membina 20,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) serta rumah baharu bagi generasi kedua Felda dan Kesedar di seluruh negeri.

Dalam manifesto itu lima tawaran disediakan termasuk pemberian geran tahunan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan persatuan bola sepak daerah serta pembinaan stadium dan kompleks sukan negeri di Machang.

Selain itu, BN Kelantan akan mewujudkan kompleks sukan mini di setiap jajahan dan membina litar lumba untuk manfaat golongan muda.

Dalam manifesto itu juga turut menggariskan langkah 100 hari pertama sekiranya BN merampas Kelantan, antaranya menurunkan kadar premium dan cukai tanah, mewujudkan Jawatankuasa Hisbah bagi memantau tadbir urus kerajaan, diskaun tunggakan cukai pintu, mengkaji cukai PBT dan mengkaji semula kadar bayaran parking kereta serta mewujudkan ‘task force’ memerangi gejala dadah di Kelantan secara berkesan.

Katanya manifesto berkenaan merupakan ilham dan pandangan semua pihak di Kelantan dari golongan warga emas, penjawat awam, belia, badan bukan kerajaan, pelajar dan sebagainya yang mengambil masa hampir tiga tahun untuk dikumpulkan.