Barisan Nasional (BN) Kelantan dijangka akan membuat pengumuman senarai nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti tiga hari sebelum hari penamaan.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kebiasaan BN negeri mengumumkan nama calon 48 jam sebelum hari penamaan, namun kali ini ianya dijangka dibuat lebih awal.

"Kita ikut Pusat lah, saya rasa 25 April tu dekat-dekatlah dulu 48 jam, kali ini lebih awal, 25 itu sudah keluar, saya pasti sebelum 25 haribulan,” katanya ketika ditemui pemberita di sidang media selepas merasmikan projek menaik taraf longkang dan laluan pejalan kaki di Dataran Ilmu di sini pagi tadi.

Pada Jumaat, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan PAS Kelantan dijangka akan mengumumkan senarai nama calonnya antara 23 atau 25 haribulan April depan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut berharap perjalanan kempen pilihanraya di Kelantan berjalan aman tanpa ceramah dengan bahasa yang keras yang boleh menyinggung perasaan sesiapa.

Katanya, bahasa kasar dan fitnah yang digunakan dalam kempen dan ceramah boleh mengundang suasana tegang sewaktu kempen pilihan raya nanti.