Persiapan jentera yang rapi dan teratur yang bergerak sejak lebih dua tahun lalu memberi keyakinan Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.

Calon BN DUN Sungai Rapat, Datuk Hamzah Kassim berkata, jentera sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berjalan lancar, tanpa masalah dalaman, di samping perpaduan antara jentera parti komponen di peringkat Parlimen Gopeng.

Menurut beliau, pelbagai program yang telah dijalankan untuk membantu rakyat di kawasan tersebut telah meyakinkan mereka bahawa BN komited untuk membantu rakyat dan membangunkan Gopeng.

Menurut beliau, antara program yang dijalankan ialah ziarah kasih, bantuan kembali ke sekolah, baik pulih rumah, pemasangan lampu jalan di kampung-kampung, projek tebatan banjir dan permukiman beliau di zon Batu Gajah.

Antara program yang dijalankan jentera BN Sungai Rapat
"Mereka masih lagi ingat lagi dengan khidmat kami walaupun telah lama berlalu, termasuk program permukiman yang dijalankan selama tiga hari tahun lalu," katanya ketika ditemui di bilik gerakan N.44 Sungai Rapat di sini, hari ini.

Pada PRU13, calon BN di DUN Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman bersama-sama seorang calon bebas, Mior Azman Aminuddin Mior Aris, tewas kepada calon PAS, Radzi Zainon dengan majoriti 2,638 undi.


Di kerusi-kerusi lain di Gopeng pula, calon-calon BN, Datuk Tan Chin Meng (Parlimen), Datuk Chang Kon You (DUN Simpang Pulai) dan Yew Sau Kham (DUN Teja) masing-masing tewas kepada calon PKR.




Hamzah berpendapat, antara yang paling terkesan di kalangan rakyat Sungai Rapat ialah beliau menghantar surat jemputan peribadi kepada hampir 10,000 rakyat yang tinggal di zon Batu Gajah untuk bersama-sama mengambil bahagian di dalam program permukiman yang diadakan.

"Kita minum kopi bersama-sama, diikuti dengan ziarah kasih untuk melihat sendiri masalah rakyat dan yang mana boleh selesaikan segera, kita bersama-sama agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Bina Upaya, kita terus menyelesaikannya.

"Yang mana memerlukan masa, contohnya aduan mengenai banjir di beberapa buah kampung seperti Seri Rahmat, Kampung Tersusun, Kampung Pisang, Ara Payung, Sungai Terap dan Taman Tien Shin, kita bawa ke peringkat tertinggi," ujar beliau.

Antara program yang dijalankan jentera BN Sungai Rapat
Hasilnya, kata Hamzah, di dalam program permukiman Menteri Besar yang diadakan awal tahun ini, peruntukan RM108 juta diluluskan untuk projek tebatan banjir di mana 25 peratus daripadanya yang melibatkan peruntukan RM30 juta telah dilaksanakan.

Menurut beliau, kebanyakan pengundi yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan BN kerana terus membantu rakyat.

"Saya beritahu mereka, kalau kita menang di Parlimen dan DUN sudah tentu lebih banyak lagi pembangunan yang boleh di bawah ke Gopeng kerana kita akan mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan," katanya.

Mengenai sambutan pengundi Cina dan India, Hamzah berkata, calon BN mendapat sokongan padu daripada pengundi India manakala pengundi Cina telah menunjukkan perubahan positif.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gopeng, Mohamad Adli Datuk Tahiruddin memberitahu, berdasarkan gerak kerja yang dijalankan pihaknya, didapati sokongan anak muda terhadap calon-calon BN melebihi 70 peratus.

Menurutnya, terdapat hampir 500 anggota briged gempur BN Gopeng yang bekerja siang malam untuk membantu calon-calon BN di samping menjaga keselamatan jentera yang berkempen.