Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.

Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau telah menerima senarai nama calon bagi lapan kerusi parlimen dan 36 kerusi DUN yang dipilih pucuk pimpinan tertinggi BN.

"Saya akan umumkan nama-nama calon BN di kediaman saya petang esok," kata beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti India Sagga di sini, pada Ahad.

Pada PRU ke-13, BN memenangi lima daripada lapan kerusi Parlimen selain menguasai 22 daripada 36 kerusi DUN.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyerahkan bantuan RM10,000 bagi pengurusan dan aktiviti kuil Sri Vengadesa Perumal di Kampung Sagga, Rantau, di sini.

-- BERNAMA