Barisan Nasional (BN) Perak perlu mempergiatkan usaha menawan dan mengekalkan kemenangan di kawasan majoriti Melayu bagi mengekalkan kuasa pemerintahan di negeri ini ekoran saingan sengit yang dihadapi di kawasan yang majoriti Cina dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata penguasaan BN di kawasan majoriti Melayu seperti di Gerik, Lenggong, Pasir Salak dan Bagan Datuk perlu terus dikekalkan.

"Cabaran sengit BN ialah di kawasan masyarakat Cina, maka dengan itu BN harus tumpukan di kawasan Melayu untuk meningkatkan undi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Sabtu.

Selain itu, Md Shukri berkata BN juga tidak boleh memandang mudah kemampuan Pas di kawasan Melayu walaupun parti itu telah berpecah daripada gabungan pembangkang kerana mereka pastinya mempunyai strategi tersendiri.

"Tidak dinafikan PAS juga kuat di kawasan dominasi Melayu. Cabaran BN di kawasan ini adalah Pas...tiada istilah mudah bagi BN," katanya.

Ditanya tindakan Pas yang tidak meletakkan calon di kawasan majoriti Cina, Md Shukri berkata ini jelas menunjukkan bahawa parti itu sedar bahawa kawasan berkenaan sukar untuk ditembusi.

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan juga berpendapat adalah sukar untuk Pas menembusi atau memecah undi kawasan majoriti Cina yang didominasi DAP.

"Strategi serta matlamat Pas bertanding sebanyak mungkin kerusi adalah kerana pertama ada peluang untuk menang dan kedua untuk memecah undi.

"Tetapi di kawasan majoriti Cina Pas berpendapat kedua-dua matlamat itu tidak boleh dicapai, maka sebab itu ia tidak bertanding," katanya.

Pada PRU14, sebanyak 66 kawasan terdiri daripada 21 kerusi Parlimen dan 45 DUN bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 12 kawasan dengan dua daripadanya kerusi Parlimen menyaksikan pertandingan satu lawan satu, manakala pertandingan empat penjuru akan berlangsung di empat DUN dan satu Parlimen.

-- BERNAMA