Barisan Nasional (BN) perlukan satu 'formula' khas bagi mengekalkan kemenangan penuh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata formula ini penting dalam memastikan kerajaan BN dapat merampas semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambahnya, formula yang akan dilaksanakan itu adalah hasil daripada perundingan dalam kalangan pemimpin dan persetujuan harus diperakui oleh parti yang berunding.

"Kita menghormati prinsip persetujuan antara semua parti komponen dalam BN.

"Penghormatan itu adalah dengan mempersetujui bahawa kerusi-kerusi yang ditentukan untuk Parlimen dan DUN harus diperakukan.

"Ini penting kerana di pusingan terakhir, kita tidak mampu untuk ada atau mempunyai sebarang masalah kerana sentimen akar umbi," kata Ahmad Zahid pada sidang media Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, Presiden PBS, Tan Seri Joseph Pairin Kitingan; Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Ketua UMNO Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda; dan Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata antara cadangan yang mampu meningkatkan sokongan majoriti adalah dengan meminjamkan kerusi DUN Matunggong kepada calon UMNO.

"Ini bukan keputusan, namun alangkah baiknya kerusi itu dipinjamkan kepada UMNO dan saya percaya kerjasama antara 'adik-beradik' dalam parti komponen mampu memastikan kemenangan besar dalam PRU ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kajian terhadap tahap sokongan kebolehmenangan dan kebolehterimaan perlu diambil kira bagi memantapkan lagi sokongan pengundi terhadap kepimpinan BN.

"Perkara ini adalah perlu supaya faktor 'kekeraskepalaan' yang menyebabkan kekalahan BN dapati diatasi dan hendaklah melakukan modifikasi terhadap sikap keras itu," tambahnya.