Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menitahkan kedua-kedua belah pihak, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) membawa menghadap 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan menyokong mereka esok.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Pakatan Harapan diberikan keutamaan untuk membawa 30 ADUN kerana mereka memenangi 29 kerusi berbanding BN, 27 dan PAS, 3 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

“Tuanku memaklumkan, mengikut laporan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan mempunyai kerusi terbanyak iaitu 29 kerusi, jadi Duli Yang Maha Mulia menjemput mereka memberi pilihan pertama untuk menubuhkan Kerajaan tetapi dengan syarat mempunyai majoriti mudah, 30 kerusi,” titahnya ketika ditemui di perkarangan Istana Kinta, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin menjelaskan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak telah menerima surat daripada BN yang memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah 30 kerusi.

“Majoriti mudah itu 27 daripada BN dan 3 anggota parti Pas di sembah maklum melalui surat itu telah bersetuju untuk menubuhkan satu kerajaan bersama BN.

“Bagaimanapun Duli Yang Maha Mulia hendak memastikan kesahihan kandungan surat itu, BN telah diminta pada pagi esok untuk membawa kesemua 30 orang untuk buktikan mereka ada sokongan itu.

“Sekiranya Pakatan Harapan tidak dapat membuktikan dia ada majoriti mudah, jadi Duli Yang Maha Mulia tidak boleh tangguh lama untuk menubuhkan Kerajaan, insyaAllah pada esok petang,” ujarnya.

Sementara itu, ujarnya tempoh yang dipohon Pakatan Harapan adalah sehingga jam 2 petang esok (Sabtu).

“Ini adalah perjumpaan kedua, sehari selepas PRU dua-dua pihak datang berjumpa, Sultan bertanya dan memberi tempoh sampai hari ini dan Pakatan Harapan minta tangguh sehingga petang esok,” katanya.

Terdahulu, beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan negeri memasuki Istana Kinta di sini menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang memasuki Istana Kinta adalah Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Asmuni Awi dan Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nor Manuty.

Semalam, BN Perak mengumumkan telah memiliki bilangan kerusi DUN yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri iaitu 30 kerusi.