Barisan Nasional negeri akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membuat keputusan mengenai calon dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga pengerusi BN negeri berkata gabungan itu tidak tergesa-gesa untuk berbuat demikian memandangkan ia akan mengumumkan calonnya selepas sambutan Gawai akan datang.

"BN dijangka memenangi pilihan raya kecil itu," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan DUN di sini pada Jumaat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas semalam menetapkan pilihan raya kecil DUN itu diadakan 4 Julai manakala penamaan calon pada 20 Jun.

PRK DUN Pujut diadakan berikutan pelucutan kelayakan keanggotaan penyandangnya Dr Ting Tiong Choon daripada DAP sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) oleh DUN Sarawak pada 12 Mei lepas.

DUN Sarawak melucutkan kelayakan Ting sebagai ADUN Pujut selepas usul dibuat Menteri Perdagangan antarabangsa dan E-Dagang negeri Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) bahawa Dr Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 anggota DUN manakala 10 yang lain membantah.

Pada pilihan raya negeri ke-11 Mei tahun lepas, Dr Ting menang dengan majoriti 1,759 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Hii King Chiong (BN) Jofri Jaraiee (PAS) dan Fong Pau Teck (Bebas).

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian berkata parti itu telah bersedia untuk pilihan raya kecil itu.

Beliau percaya kerusi itu adalah kerusi tradisional BN yang diperuntukkan kepada SUPP, dan akan diberikan kepada partinya berdasarkan semangat dan konsensus BN.

"Kami menyambut baik mana-mana calon yang mendakwa dia adalah calon yang lebih kuat berbanding kami. Namun dia perlu menyertai kami jika dia adalah anggota komponen lain atau parti mesra BN (dan) dia perlu keluar daripada partinya untuk bertanding.

''Pilihan raya kecil ini tidak dijangka. Ia adalah mengenai calon yang mempunyai integriti dan keikhlasan. Tempoh berkempen juga luar biasa bagi negeri ini kerana ia diadakan semasa bulan puasa tetapi kami bersedia," katanya.

Katanya parti itu mempunyai beberapa calon yang telah dibentuk untuk pilihan raya peringkat Parlimen. Seorang daripada mereka boleh bertanding di Pujut.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, pada sidang akhbar selepas itu berkata, pilihan raya kecil itu tidak adil kepada partinya kerana Mahkamah Petisyen Pilihan Raya telah menolak petisyen yang dikemukakan UPP selepas pilihan raya negeri.

Beliau menuduh BN menggunakan kuasanya dalam persidangan untuk menafikan hak 8,899 pengundi yang menyokong Dr Ting yang didakwanya telah menjalankan tugas dengan baik dalam berkhidmat kepada pengundi.

Bagaimanapun, katanya, DAP akan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil itu dan akan bermesyuarat tidak lama lagi mengenai calonnya.

Katanya pasukan peguam parti itu juga akan pergi ke mahkamah berhubung kehilangan kelayakan Dr Ting.

--BERNAMA