Kerajaan Barisan Nasional (BN) disifatkan tidak 'gentleman' dalam berdepan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut melahirkan rasa simpati dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang membubarkan sementara parti itu.

"Secara jujur rasa terkilan sebab di sebuah negara demokrasi seperti Malaysia sepatutnya beri peluang kepada semua parti. Kerajaan tidak boleh guna alasan teknikal untuk berhadapan pembangkang (sebaliknya) bagi ruang, ini tak gentleman BN dalam berhadapan PPBM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang media pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Sabtu.

Kelmarin, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim dalam sidang medianya mengumumkan pembubaran sementara PPBM mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 kerana tidak memenuhi syarat.

Mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan satu logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU14, Mohd Amar menjelaskan, tindakan itu akan menimbulkan kecelaruan dalam kalangan ahli dan pimpinan PH.

Selain itu, Mohd Amar mengulangi pendirian bahawa Pas tidak akan menyertai PH walaupun menerima pelawaan di saat-saat akhir.